Rabu, 31 Disember 2008

Kumpulan Puisi | BALADA PADUKA MAT SALLEH

Buku ini merupakan hasil Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah yang saya sertai pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair terkenal Malaysia, Kemala (Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah). Kemala memberi kebebasan pilihan bentuk karya yang bakal dibimbingnya dan saya memilih kisah sejarah Datuk Paduk Mat Salleh, salah seorang pejuang yang menentang Inggeris di Sabah. Puisi-puisi yang dimuatkan berbentuk balada, sesuai untuk menggarap cetera sejarah. Buku ini diterbitkan pada tahun 1989 oleh DBP Malaysia.

Kumpulan Pantun | USUL MENGENAL ASAL

Buku ini menghimpunkan 300 rangkap pantun yang saya karang beberapa tahun lalu. Pantun-pantun dalam Usul Mengenal Asal ini sebahagian besarnya adalah ingatan-ingatan dan pengalaman masa lalu, juga catatan perjalanan yang saya gubah sebagai pembayang. Maksud pantun menggabungkan pelbagai tema peribadi, adab dalam masyarakat, keagamaan, kasih sayang dan patriotisme. Pantun-pantun berkenaan saya bahagikan kepada lima bahagian: Bersantun Berbahasa (24 rangkap), Memimpin Rindu (54 rangkap), Ufuk Pasrah (48 rangkap), Usul Mengenal Asal (60 rangkap) dan Kalau Bukan Kehendak Hati (60 rangkap).

Kumpulan Puisi | KEMBALI DI LAHAD RAHSIA

KEMBALI DI LAHAD RAHSIA - Koleksi puisi terkini saya, mencantumkan 122 buah puisi yang bernafaskan Islami. Kebanyakan puisi-puisi ini berbentuk lirik dan bersuara secara batini. Beberapa buah puisi pernah diterbitkan dalam majalah dan buku-buku sebelumnya. Buku ini dipecahkan sebanyak 3 iaitu Berjalan ke Arah Cahaya (32 buah puisi), Lebur dalam KerahsiaanNya (68 buah puisi) dan Usikan Kalbu (14 buah puisi). Lirik dalam Usikan Kalbu mempunyai pengaruh dengan tulisan Anisah Mai yang terdapat dalam Tasauf Moden - Abuya Hamka. Moga puisi-puisi ini memperoleh kebaikan untuk bacaan kita bersama. Sebagai insan biasa, saya berpegang kepada ibadah, menulis sebagai suatu ibadah. Selamat membaca.

Kumpulan Puisi | SINAR SIRNA

Kumpulan Puisi SINAR SIRNA diusahakan penerbitannya oleh DBP Malaysia pada tahun 2006. Penerbitan buku ini melalui pelbagai liku, bermula daripada cadangan menyatukan puisi-puisi ini bersama dengan empat penyair lain di Sabah hinggalah kepada pindaan judulnya yang asal iaitu 'Lebur yang Abadi'. Namun demikian, DBP Cawangan Sabah telah mengambil inisiatif untuk menjadikan setiap penyair yang karya-karya mereka dikemukakan ke DBP Kuala Lumpur dicetakan secara perseorangan, maka lahirlah buku seperti yang ada lihat sendiri. SINAR SIRNA memuatkan 160 buah puisi pilihan yang saya tulis pada tahun 1988 hinggalah tahun 2005. Sekiranya anda mahu membaca kandungannya sila klik sahaja dan nikmatilah puisi-puisi tersebut. Selamat membaca.

Kumpulan Puisi | MENGINAI BADAI



MENGINAI BADAI - Koleksi puisi Hasyuda Abadi yang diterbitkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 2004 atas inisiatif Pengarahnya ketika itu, Tuan Haji Hamzah Hamdani. Buku ini memuatkan 133 buah puisi yang ditulis sejak tahun 1997 hingga tahun 2004. Temanya pelbagai meliputi keagamaan, kritikan sosial serta isu-isu seputar yang berlaku sekitar tahun-tahun berkenaan. Blog ini menyediakan pautan untuk memberikan peluang sesiapa juga di merata tempat di dunia membaca serta menghayati puisi-puisi yang terkumpul. Moga memberikan manfaat bersama. Selama membaca.